BANGKOK – Seorang pemandu berdepan detik cemas apabila kenderaan elektrik (EV) yang dipandunya terjunam ke dalam terusan di Thailand ketika menggunakan aplikasi Sistem Panduan Sejagat (GPS), lapor portal berita Bangkok Post.
Kejadian berlaku sekitar pukul 6 petang (waktu tempatan) di terusan Khao Kheow, daerah Phayuha Khiri pada 18 Ogos lalu.
Seorang anggota penyelamat berkata, kenderaan itu dalam perjalanan ke sebuah kafe apabila pemandunya tidak menyedari perubahan pada permukaan jalan.
“Permukaan yang tidak rata boleh menyebabkan pemandu hilang kawalan ketika memandu secara laju.
“Kami percaya mangsa tidak biasa dengan laluan tersebut dan bergantung kepada aplikasi GPS,” katanya.
Mangsa berjaya keluar dari kenderaan dengan selamat.
Namun, keretanya hanyut dibawa arus kira-kira 50 meter sebelum ditenggelami air sedalam 2 meter. – AGENSI