LONDON – Kemenangan 4-0 ke atas Wolverhampton pada perlawanan pertama menjadi bukti jelas fasa revolusi yang sedang dibina dalam skuad Manchester City musim ini.
Bekas pertahanan England, Jamie Carragher percaya kehadiran Pep Lijnders sebagai pembantu Pep Guardiola berjaya membentuk perubahan ketara kepada corak permainan Manchester City musim ini.
“Baharu satu perlawanan dan saya tidak ada gambaran sebenar tentang apa yang Pep katakan musim lepas setelah mendakwa Man. City tidak lagi bermain dengan caranya. Pep Lijnders adalah jurulatih yang hebat dan pernah beri pengaruh besar kepada Jurgen Klopp ketika bersama Liverpool.
“Saya saksikan perlawanan (City) hujung minggu lalu dan saya tidak percaya apa yang saya lihat. Mengimbau semula jaringan menerusi serangan balas dan gol Tijjani Reijnders, ia mungkin bukan lagi cara yang sering digunakan oleh Guardiola.
“Saya tidak tahu apa yang sebenarnya berlaku, tetapi saya tidak fikir ia terjadi secara kebetulan. Lijnders adalah jurulatih yang berjaya memberi pengaruh besar kepada Guardiola,” katanya yang melabel City sebagai Liverpool 2.0.
Malah, Guardiola sendiri turut mengakui yang Lijnders banyak memberikan bantuan kepadanya yang kini lebih bersikap terbuka dengan idea yang dicadangkan.
“Dalam tempoh singkat, dia (Lijnders) membuka mata saya tentang beberapa perkara, sama seperti yang berlaku ketika bersama semua penolong saya. Pembantu saya banyak memberikan bantuan kepada saya,” kata Guardiola. – AGENSI