IPOH – Dua beradik ditemukan lemas di sebuah kolam tadahan air di kawasan tapak pembinaan di Lebuh Perindustrian Sin Yong Seng, Taman Chemor Ria, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, mangsa merupakan adik-beradik lelaki berusia sembilan dan lapan tahun.
Katanya, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu daripada orang awam pada pukul 8.33 malam.
“Berdasarkan siasatan, dua beradik itu dipercayai keluar bermain berhampiran kawasan tapak pembinaan bersebelahan rumah sewa mereka sebelum dijumpai orang awam dalam kolam tadahan tersebut.
“Kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), namun disahkan meninggal dunia pada pukul 9.39 malam, hari sama,” katanya di sini, hari ini.
Menurut beliau, pemeriksaan di lokasi kejadian mendapati kawasan tapak pembinaan itu tidak berpagar dan tiada papan tanda larangan dipamerkan. – KOSMO! ONLINE