NARATHIWAT, THAILAND – Hobi seorang lelaki membela burung merbuk digelar Madu Tiga ternyata berbaloi apabila dipilih menjadi johan Pertandingan Suara Burung Ketitir Nasional Selatan Thai di Belukasamo, Bacho di sini kelmarin.
Ismail Hassan, 67, dari Kelantan membawa pulang sebuah piala dan kipas angin selepas diumum pemenang Kategori Suara A.
Katanya, dia merasa puas apabila burung merbuk peliharaannya dipilih mempunyai suara paling merdu dalam pertandingan itu.
“Madu Tiga telah memenangi 10 pertandingan yang diadakan di beberapa negeri di Malaysia dan Selatan Thai.
“Ada yang ingin beli Madu Tiga yang saya bela sejak 2023 pada harga RM40,000 tetapi saya tidak jual. Sebelum ini saya ada jual
spesies sama berharga RM50,000,” katanya.
Sementara itu, Datuk Bandar Belukasamok, Nik Suhaimi Sakor berkata, lebih 805 ekor burung merbuk membabitkan 700 peserta mengambil bahagian dalam pertandingan tahunan itu.
“Peserta terdiri daripada peminat burung merbuk dari Malaysia, Bangkok dan Selatan Thai. Ini adalah pertandingan peringkat nasional kali kedua diadakan.
“Peserta dikenakan bayaran 300 baht (RM39) bagi setiap burung yang dipertandingkan. Semua hasil kutipan akan disalurkan bagi membantu anak yatim,” katanya. -KOSMO! ONLINE