KUALA TERENGGANU – Seorang suri rumah dan suaminya didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan mengabai bayi lelaki berusia 22 bulan yang meninggal dunia pada 8 Ogos lalu sehingga cedera.
Tertuduh, Nor Azila Sharif Ahmad, 30, dan suaminya, Mohammad Saiful Ikhwan Abdul Rahman, 27, yang bekerja sebagai buruh bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli.
Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap bayi itu didakwa mengabaikan mangsa sehingga menyebabkan kecederaan fizikal.
Perbuatan itu dilakukan di rumah mereka di Kampung Banggol, Manir, di sini pada Mac hingga 6 Ogos lalu.
Nor Azila dan Mohammad Saiful Ikhwan didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya.
Kosmo! pada 11 Ogos lalu melaporkan sepasang suami isteri direman selepas anak bongsu daripada dua beradik meninggal dunia ketika dirawat di Wad Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini pada 8 Ogos lalu.
Pemeriksaan ke atas tubuh mangsa yang dikatakan diserang sawan akibat terjatuh ketika memanjat pagar penghadang pintu pada 5 Ogos lalu menjumpai banyak kesan lebam. – KOSMO! ONLINE