LONDON – Arsenal semakin hampir untuk melengkapkan perpindahan pemain tengah Crystal Palace, Eberechi Eze dengan yuran sekitar £60 juta (RM340.80 juta) selepas beberapa minggu rundingan ‘secara rahsia’ berlangsung.
Menariknya, pengumuman itu didedahkan pakar perpindahan Eropah, Fabrizio Romano yang mendedahkan Eze sendiri memilih untuk menyertai The Gunners berbanding tawaran daripada musuh setempat, Tottenham Hotspur.
Langkah Arsenal membawa masuk bintang England berusia 27 tahun itu didorong kecederaan Kai Havertz yang memaksa pengurus, Mikel Arteta segera mencari pengganti berkualiti di bahagian serangan.
Palace pada awalnya menolak untuk melepaskan Eze, namun persetujuan dicapai selepas Arsenal menawarkan pakej yang lebih baik berbanding Spurs, sekali gus menutup peluang seteru utamanya itu.
Eze yang sudah menjaringkan 16 gol dalam 103 penampilan bersama The Eagles, dilihat sebagai aset penting bagi meningkatkan kreativiti di bahagian tengah menghadapi kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.
Dalam masa sama, Palace dilaporkan mula memburu pengganti Eze dengan menjadikan bintang muda Southampton, Tyler Dibling, 19, sebagai sasaran utama selepas kelab itu menolak tawaran awal Everton.
Pengurus Palace, Oliver Glasner mahu pengganti segera sebelum melepaskan Eze secara rasmi dan Dibling kini menjadi pilihan utama bersama pemain tengah menyerang Leicester City, Bilal El Khannouss.
Dibling yang pernah meledak gol menentang Palace musim lalu, kini dinilai sekitar £50 juta (RM284 juta) dengan Southampton menegaskan mereka tidak akan menjual pada harga murah. – AGENSI