PETALING JAYA – Pelakon Mira Filzah menepis dakwaan tidak berasas segelintir netizen yang menuduh kononnya anak tunggalnya, Wan Khair Amir, kelihatan terlalu kurus dan cengkung kerana kurang makan.
Enggan terus disalah erti, Mira atau nama sebenarnya Nur Amirah Filzah Badioezaman, 32, berkata, putera kesayangannya itu mewarisi bentuk tubuh daripada genetik keluarga suami.
“Orang cakap anak nampak kurus, macam kurang makan. Eh, awak semua ni, komen macam-macam. Gemuk salah, kurus pun salah.
“Amir ni tinggi dan kurus sebab ikut bapa dia serta bapa-bapa saudaranya. Mereka semua tinggi enam kaki ke atas,” katanya.
Tambah bintang drama Mandul Bukan Pilihan itu, keadaan tersebut normal bagi seorang kanak-kanak lelaki aktif.
“Dari kecil lagi badan Amir memang tinggi, sedangkan usianya baru tiga tahun lebih.
“Ada saja yang tak kena di mata orang. Makan banyak pun nanti buang air banyak juga.
“Lagi pula dia budak lelaki, setiap malam lepas mandi pun berpeluh sebab ligat bermain. Itu perkara biasa,” ujarnya.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata peminat memberikan sokongan kepada Mira serta menzahirkan pengalaman sama membesarkan anak.
“Tak payah peduli kata orang, Mira. Anak saya pun kurus tinggi macam tu, tapi sihat saja,” tulis seorang netizen.
“Setiap anak tak sama, ada yang berisi, ada yang kurus. Asalkan sihat, itu paling utama,” kongsi seorang pengikut.
Untuk rekod, Mira mendirikan rumah tangga bersama Wan Emir Astar Wan Mohammad Khairil Anuar pada 3 September 2020.
Hasil perkongsian hidup itu, pasangan tersebut dikurniakan seorang cahaya mata lelaki yang kini berusia tiga tahun. – KOSMO! ONLINE