ISKANDAR PUTERI – Johor Darul Ta’zim (JDT) mengorak langkah kanan dalam Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) bagi merebut Piala Shopee apabila menjinakkan kelab Singapura, Lion City Sailors 3-1 di Stadium Sultan Ibrahim, petang tadi.
Beraksi di laman sendiri, skuad kendalian Xisco Munoz dilihat berjaya menguasai permainan dan mendesak pasukan pelawat untuk lebih banyak bertahan dan berkampung di bahagian bawah.
Hantaran demi hantaran yang dilakukan ke dalam kotak penalti memaksa pertahanan lawan melakukan kesilapan di mana Safuwan Baharudin melakukan kekasaran terhadap Jairo Da Silva.
Pengadil perlawanan dari Jepun, Takasaki Koji membenarkan Harimau Selatan mengambil sepakan penalti setelah semakan video bantuan pengadil (VAR) mengesan berlaku kekasaran terhadap penyerang Brazil itu.
Joao Figueiredo yang diberikan tanggungjawab untuk mengambil sepakan penalti itu mudah memperdayakan penjaga gol, Ivan Susak yang melayangkan badan ke arah berlainan bagi membuka jaringan pada ke-11.
Bersambung babak kedua, pasukan pelawat itu cuba mempertingkat rentak permainan bagi merapatkan jurang gol namun tidak berupaya menghasilkan percubaan berbahaya ke kubu JDT.
Lion City akhirnya berjaya memperoleh gol saguhati perlawanan apabila Muhammad Shawal Anuar melepaskan rembatan lencong dari luar kotak penalti menewaskan penjaga gawang, Andoni Zubiaurre sebelum wisel penamat ditiupkan.-KOSMO! ONLINE