PENGENDALI kelab Singapura, Lion City Sailors, Aleksandar Rankovic tidak gentar berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada aksi pembukaan Kumpulan B Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) hari ini.
Walaupun rekod pertemuan dalam aksi persahabatan pada tahun lalu memihak kepada Harimau Selatan, Rankovic menjelaskan ia adalah pertemuan yang berbeza dan tidak menjangkakan perkara sama akan berulang.
Katanya, mereka kini sudah bersiap sedia untuk berdepan juara Liga Super itu bagi mendapatkan permulaan yang baik dalam kejohanan tersebut.
“Pada musim lalu, kita terkandas di peringkat kumpulan dan pastinya kita tidak mahu ia berulang. Kita sekali lagi berada di kedudukan sukar apabila dua perlawanan pertama adalah di tempat lawan dan hanya dua pertemuan sahaja beraksi di laman sendiri.
“Bagaimanapun, itu bukanlah alasan untuk kita tidak beraksi dengan kekuatan penuh bagi memburu kemenangan. Jadi, perlawanan esok adalah permulaan bagi segalanya.
“Tewas dalam aksi persahabatan tidak memberi sebarang makna kerana ia membabitkan skuad yang berbeza dan tekanan perlawanan juga tak sama, kami janji aksi yang lebih mantap pada pertemuan esok,” katanya pada sidang akhbar pra perlawanan di Stadium Sultan Ibrahim semalam.
Pada perlawanan itu, kelab Singapura tempang tanpa kehadiran pemain utamanya Hariss Harun dan Bailey Wright disebabkan masih dibelenggu kecederaan.
Menjelang aksi itu, Rankovic merancang untuk memberi tumpuan lebih terhadap sesetengah pemain utama JDT, namun enggan menamakan pemain tersebut. – KOSMO! ONLINE