fbpx
Azhan Rani menerima layanan luar biasa ketika menjalani penggambaran di sebuah perkampungan di Kelantan.

’80 peratus duit saya tak laku, orang Kelantan terlalu baik’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Duit dibawa hampir tidak digunakan, pelakon Azhan Rani terkejut dengan sifat pemurah rakyat Kelantan yang tidak lolek membayarkan makan dan minumnya sepanjang menjalani penggambaran di negeri itu.

Ujar Azhan atau nama sebenarnya Azhan Abdul Rani, 49, keramahan dan budi pekerti penduduk Tanah Serendah Sekebun Bunga khususnya di Tanah Merah itu membuatkan dirinya benar-benar terhutang budi.

“Sampaikan salam kasih saya kepada seluruh penduduk Tanah Merah yang sangat baik hati.

“Saya pun tak tahu bagaimana mahu balas. Dalam banyak negeri di Malaysia, saya rasa di Kelantan ni khususnya terlalu baik masyarakat dia.

“Sepanjang seminggu saya berada di sini, hampir 80 peratus duit saya tidak laku. Ada sahaja orang bayarkan makan minum, ada yang hulur dalam senyap, ada juga yang terus belanja depan-depan,” katanya menerusi satu video.

Tambah pelakon drama Seribu Tahun itu, keikhlasan masyarakat Kelantan yang begitu luhur menghulurkan bantuan tanpa mengharap balasan wajar dijadikan contoh kerana sukar ditemui di tempat lain.

“Saya rasa kalau di tempat sendiri pun, belum tentu saya mampu nak layan orang lain dengan kemurahan hati sebegini.

“Sungguh saya berterima kasih. Semoga ukhuwah terbina dalam masa seminggu ini berkekalan sampai akhir hayat,” ujarnya.

Difahamkan, Azhan kini berada di Pantai Timur itu menjalani penggambaran telefilem Seteguh Guillemard yang mengisahkan sejarah pendudukan Jepun serta pengunduran British.

Telefilem bersejarah tersebut dijadualkan tayang sempena sambutan Hari Kemerdekaan nanti.

Menjengah ke ruangan komen media sosial, rata-rata netizen turut mengiyakan pengalaman Azhan.

Ramai yang mengakui, masyarakat Kelantan terkenal dengan sifat pemurah tanpa mengira siapa.

“Memang betul, saya pernah kerja di sana seminggu. Pergi makan, tuan kedai tanya asal mana. Bila tahu dari Selangor, dia terus tambah nasi lauk banyak-banyak. Dia kata, makan puas-puas, kalau lapar datang lagi. Harga pun murah, bukan satu kedai, semua kedai sama. Memang baik hati,” kata seorang netizen.

“Kelantan hakikatnya memang begitu. Saya pernah tinggal di sana beberapa tahun. Bila sudah kenal, mereka selalu bayarkan makan, kalau kita perlukan pertolongan pun laju sahaja mereka hulur tangan. Memang budaya mereka suka memuliakan orang,” kongsi seorang lagi pengguna media sosial.

Tidak kurang juga yang menyifatkan sifat masyarakat Kelantan itu sebagai lambang budaya Melayu tulen. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI