fbpx
Gambar hiasan

22 juta pemegang MyKad boleh semak kelayakan SARA mulai hari ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA – Seramai 22 juta pemegang MyKad boleh menyemak kelayakan Penghargaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) di portal rasmi SARA, https://sara.gov.my bermula hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Bantuan Penghargaan SARA sebanyak RM100 itu akan disalurkan ke dalam MyKad penerima mulai 31 Ogos ini sempena Hari Kebangsaan dan boleh digunakan sehingga 31 Disember depan.

Katanya, setiap pemegang MyKad warga Malaysia berusia 18 tahun dan ke atas yang lahir akan menerima bantuan ini termasuk penerima SARA sedia ada.

“Penghargaan SARA ini merupakan usaha ikhlas Kerajaan Madani yang julung kalinya memanjangkan bantuan tunai kepada seluruh orang dewasa.

“Tujuannya untuk mengagihkan hasil reformasi kewangan awam kepada rakyat sejagat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menteri Kewangan itu berkata, bagi memastikan limpahan negara ini dimanfaatkan secara saksama, baki Penghargaan SARA yang tidak dibelanjakan pada hujung tahun akan diagihkan semula kepada golongan rentan melalui program yang akan diputuskan kelak.

Katanya, penerima boleh memilih untuk menggunakan bantuan dengan membeli barangan keperluan asas dan menyumbang semula kepada mereka yang memerlukan.

“Sebagai contoh, pembelian barangan asas sebagai derma kepada NGO (badan bukan kerajaan), tempat ibadat dan sebagainya. Secara kolektif, sesebuah isi rumah berpeluang menerima jumlah kredit Penghargaan SARA yang lebih tinggi.

“Sebagai contoh, sebuah keluarga terdiri daripada sepasang suami isteri dan dua anak berumur 18 tahun dan ke atas akan menerima RM400,” katanya.

Beliau berkata, tiada sebarang pendaftaran atau permohonan perlu dibuat memandangkan kelayakan Penghargaan SARA adalah automatik berdasarkan data pemegang MyKad Jabatan Pendaftaran Negara.

Orang ramai dinasihatkan agar tidak terperdaya dengan helah atau ‘scammer’ memandangkan bantuan Penghargaan SARA akan disalurkan secara langsung kepada MyKad penerima.

“Bantuan ini boleh dibelanjakan di lebih 7,300 premis runcit yang berdaftar dan akan bertambah dari semasa ke semasa. Penerima boleh membeli lebih 100,000 barangan keperluan bagi 14 kategori termasuk makanan asas seperti beras dan telur, kebersihan rumah, ubat-ubatan, keperluan sekolah dan kebersihan diri,” katanya.

Dengan pelaksanaan program itu, jumlah peruntukan di bawah program STR dan SARA meningkat daripada RM13 kepada RM15 bilion bagi 2025, 50 peratus lebih tinggi berbanding RM10 bilion pada 2024. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI