KOTA KINABALU – Lima remaja perempuan terbabit kes buli Allahyarham Zara Qairina Mahathir tiba di perkarangan Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu kira-kira pukul 8.25 pagi tadi.
Mereka yang berumur di bawah 18 tahun itu akan dituduh mengikut Seksyen 507C (1) Kanun Keseksaan iaitu berhubung kesalahan menggunakan atau membuat apa-apa perkataan atau komunikasi yang mengancam, kesat atau menghina.
Terdahulu, Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam kenyataan memaklumkan pihaknya telah meneliti kertas siasatan kes kematian pelajar itu yang dirujuk oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan memutuskan untuk menuduh beberapa suspek berdasarkan keterangan yang ada.
AGC turut memaklumkan prosiding inkues masih perlu dijalankan bagi menentukan punca sebenar kematian Zara Qairina,13.
Mahkamah Koroner di sini pada Isnin menetapkan 3 Sept ini untuk memulakan prosiding inkues bagi menyiasat punca kematian Zara Qairina. – KOSMO! ONLINE