fbpx
Hamid sewaktu bertemu media di pekarangan Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu, hari ini.

Identiti dirahsiakan bukan sebab VVIP – Peguam Zara Qairina

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KOTA KINABALU – Perintah larangan bersuara atau ‘gag order’ melibatkan lima remaja terbabit kes buli Allahyarham Zara Qairina Mahathir bukan disebabkan mahu melindungi ‘orang tertentu’ atau VVIP.

Peguam keluarga Allahyarham Zara Qairina, Hamid Ismail berkata, sebaliknya perintah berkenaan berikutan remaja tersebut pesalah di bawah umur yang termaktub di bawah Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak 20011.

“Bagi kanak-kanak banyak perkara tidak boleh didedahkan kerana wujud Seksyen 15 Akta ini yang menghalang publikasi anak-anak tersebut sama ada tempat tinggal, nama, ibu bapa dan sebagainya.

“Secara ringkas Seksyen 15 ini, identiti kanak-kanak adalah dirahsiakan, tidak boleh (didedahkan) sama ada dalam tempoh perbicaraan atau siasatan.

“Bukan sebab dia VVIP, disuruh sesiapa. Itu undang-undang, jangan salah sangka ini permainan orang atas,” katanya kepada pemberita di pekarangan Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu di sini, hari ini.

Hamid berkata, beliau meminta semua masyarakat Malaysia yang mengikuti perkembangan kes Allahyarham Zara Qairina untuk menunggu kenyataan daripada Jabatan Peguam Negara (AGC).

“Kita tunggu kenyataan AGC, kami dedahkan, kami langgar arahan mahkamah. Harap Jabatan Peguam Negara tolong jelaskan kepada netizen, saya harap dapat keluarkan kenyataan. Hari ini prosiding di Mahkamah Kanak-Kanak, kami tak boleh cakap apa-apa yang berlaku di dalam. Kita mohon maaf kerana wujud Sekyen 15 Akta Kanak-Kanak dan ‘gag order’, tak boleh dedahkan,” katanya.

Beliau berkata, pihak peguam telah memfailkan permohonan untuk menjadi orang berkepentingan dalam inkues kematian Allahyarham Zara Qairina kelmarin.

“Kami tunggu tarikh pendengaran, mungkin dalam minggu ini,” ujarnya.

Kosmo! hari ini melaporkan, lima remaja perempuan terbabit kes buli Allahyarham Zara Qairina tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu kira-kira pukul 8.25 pagi tadi.

Mereka yang berumur di bawah 18 tahun itu dituduh mengikut Seksyen 507C (1) Kanun Keseksaan iaitu berhubung kesalahan menggunakan atau membuat apa-apa perkataan atau komunikasi yang mengancam, kesat atau menghina. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN