PETALING JAYA – Sebuah bangunan di Kompleks C, Putrajaya dikatakan diganggu oleh makhluk halus, didakwa berpunca daripada tindakan menebang pokok di kawasan tersebut.
Menerusi video tular di media sosial memperlihatkan keadaan dipercayai di dalam salah satu pejabat di Kompleks C yang mana papan tanda ‘laluan kecemasan’ tergantung di siling bergoyang sendiri.
Berdasarkan video itu, suasana dilihat tenang tanpa sebarang angin yang mana keadaan pintu bertutup serta tiada tingkap di situ.
Beberapa kakitangan yang berada di situ juga kelihatan seperti biasa, seolah-olah seperti tidak terganggu dengan ‘gangguan’ tersebut.
Dalam masa sama, seorang sumber mendakwa, kejadian tersebut berpunca daripada tindakan memotong satu pokok yang dikatakan menjadi ‘rumah’ kepada makhluk berkenaan.
“Katanya sebab hari tu ada lah potong pokok belakang Kompleks C tu, rumah dia,” menurut sumber berkenaan.
Dalam masa sama, tular di media sosial satu notis dikatakan bangunan tersebut menjalani sesi ‘pembersihan’ dan ‘pagar’ dijalankan oleh seorang ustaz.
Notis tersebut meminta semua kakitangan menyimpan barang berharga dan dokumen terperingkat, manakala
semua pintu utama setiap aras dan pintu bilik perlu dibuka dikatakan bagi memberi laluan keluar kepada ‘yang berkenaan’.
Malah, turut dilaksanakan adalah sesi rukyah yang bermula selepas solat maghrib di bahagian lobi bangunan.
Sementara itu, orang ramai memberi pelbagai maklum balas selain ada yang berkongsi pengalaman pejabat mereka pernah diganggu makhluk halus.
“Dia marah sebab rumah kena kacau. Sebelum ni kontraktor ada potong satu pokok besar. Mula dan punca situ lah kena gangguan ni,” dakwa seorang lagi pengguna TikTok berhubung kejadian di Kompleks C, Putrajaya.
“Dulu ada kes serupa di pejabat saya, segala ahli perubatan digunakan, akhirnya dapat tahu entiti tu pendamping seorang staf baharu. Tahu-tahu dah tak ada dan staf baru tu pun tak ada juga,” komen seorang pengguna TikTok.
Selain itu, ada juga yang tidak mempercayai papan tanda ‘laluan kecemasan’ itu bergoyang sendiri disebabkan oleh gangguan, tetapi berpunca daripada laluan angin bagi penyaman udara
“Dah sah-sah goyang sebab bawah ‘blower’,” ujar seorang lagi pengguna TikTok. – KOSMO! ONLINE