PETALING JAYA – Seorang lelaki warga asing didakwa kelaparan akibat tidak makan dua hari, selepas dipercayai tidak menerima bayaran daripada kerja yang telah dilakukannya.
Lelaki tersebut kemudian mengayuh basikal ke rumah seorang penduduk untuk mendapatkan kerja, namun sebaik mengetahui kisah individu itu, tuan rumah berkenaan terus memberikannya makanan.
Menerusi video dikongsikan pengguna TikTok Anyssophiaa, dia menceritakan mengenai lelaki tersebut yang datang ke rumahnya bertanyakan mengenai pekerjaan.
“Ada kerja? Saya lapar, saya buat kerja orang tak nak bayar saya,” kongsi wanita itu berhubung perbualan mereka.
Dia mengatakan tidak mempunyai kerja untuk lelaki itu, namun dia masuk semula ke rumah untuk mengambil makanan dan menyerahkan kepadanya.
“Dapat makanan terus bersila makan depan rumah, minum air paip,” menurut kapsyen wanita berkenaan yang sebak dengan keadaan lelaki itu.
Menerusi ruangan komen, orang ramai sebak selain mendoakan wanita tersebut dimurahkan rezeki daripada Allah.
“Nampaklah dua hari tak makan tu. Kasihannya ya Allah. Semoga sis sekeluarga sentiasa dipermudah urusan dunia dan akhirat,” komen Isma_nasution.
“Saya buat e-hailing ramai ye pekerja asing yang kena tindas dengan majikan. Tak bayar gaji sampai dua, tiga bulan. Kasihan betul,” kata wiwi.
“Siapalah aniaya dia, dah buat kerja tak nak bayar. Dia kerja untuk makan, bukan untuk kaya pun,” komen ReenEyla. – KOSMO! ONLINE
@anyssophiaa 😮💨😮💨😮💨 #janganmembazir ♬ original sound – DNP