MELAKA – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri menyita empat buah kenderaan mewah bernilai keseluruhan RM1 juta dalam Ops Luxury yang dijalankan selama tiga hari sejak Ahad lalu.
Pengarah JPJ negeri, Siti Zarina Mohd. Yusop berkata, empat kenderaan disita adalah Porsche Taycan Cross Turismo, Toyota Alphard, Mercedes-Benz dan Audi A5 selepas Lesen Kenderaan Motor (LKM) dikesan telah tamat tempoh dan tiada perlindungan insurans.
“Sebuah kereta Mercedes telah disita ketika pemilik berusia 54 tahun sedang mengisi minyak kenderaan itu di sebuah stesen minyak di Jalan Tun Abdul Razak.
“Pemeriksaan mendapati LKM telah tamat tempoh sejak 25 April lalu,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Mengulas lanjut beliau berkata, seorang wanita muda berusia 25 tahun turut dikesan memandu sebuah Audi dengan LKM tamat tempoh pada 30 Mei lalu.
“Kita juga telah menyita sebuah Aplhard di Jalan Taming Sari kerana LKM telah tamat tempoh pada 29 Julai lalu.
“Sebuah kereta Porsche berharga ratusan ribu ringgit dipandu seorang lelaki berusia 33 turut disita kerana LKM tamat tempoh pada Jumaat (15 Ogos) lalu di Jalan Tun Ali,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Siti Zarina berkata, hasil soal siasat, kesemua pemilik kenderaan terbabit bagaimanapun memberikan alasan klise terlupa untuk memperbaharui LKM dan insurans. – KOSMO! ONLINE