PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menggempur syarikat disyaki terlibat penyeludupan tembakau, rokok dan cerut hingga menyebabkan ketirisan hasil cukai lebih RM250 juta sejak 2020 hingga 2024.
Serbuan dijalankan semalam menerusi Op Sikaro diketuai Bahagian Operasi Khas SPRM dengan kerjasama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Bank Negara Malaysia dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di 14 lokasi sekitar Lembah Klang dan Johor.
Menurut sumber, serbuan itu dijalankan ke atas premis-premis perniagaan dan pemilik-pemilik syarikat yang menjalankan aktiviti perniagaan tembakau, cerut dan pembekal minuman keras.
“Hasil serbuan, SPRM membekukan akaun bank persendirian dan syarikat bernilai RM218 juta.
“Pihak JKDM pula menggantung lesen import beberapa syarikat yang dikenal pasti terlibat dengan kegiatan tersebut bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan,” katanya kepada Kosmo! hari ini.
Sumber berkata, sindiket itu dipercayai turut melibatkan pegawai agensi penguatkuasa dan siasatan akan menumpukan kepada usaha mengesan dan menyita aset-aset lain yang terlibat melalui aktiviti pengubahan wang haram.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin berkata, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009.
“Siasatan turut dibuka mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).
“SPRM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba mengaut keuntungan melalui rasuah, pengubahan wang haram dan penyeludupan yang merugikan negara,” katanya. – KOSMO! ONLINE