fbpx
Projek Perumahan Rakyat (PPR). GAMBAR HIASAN.

Segelintir penyewa PPR ada rumah lain, pendapatan melebihi syarat – Dr. Zaliha

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Segelintir penyewa Program Perumahan Rakyat (PPR) didapati memiliki rumah lain dalam lingkungan 35 kilometer (km) dari Kuala Lumpur.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa berkata, terdapat juga penyewa tidak lagi menetap di PPR kerana mungkin disewa semula kepada orang lain atau dibiar kosong.

Katanya, semakan juga mendapati ada penyewa melebihi syarat kelayakan pendapatan isi rumah, penyewa pasangan bukan warganegara dan memiliki tunggakan sewa yang tinggi.

Justeru, katanya, proses pemutihan PPR sedang dijalankan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk memastikan keadilan dilaksanakan dalam proses pengagihan unit PPR.

“Daripada 3,379 penyewa yang disemak, seramai 3,031 penyewa (89.7 peratus) masih layak dan kekal menyewa, manakala 348 penyewa (10.3 peratus) gagal disambung kerana melanggar syarat

“Langkah pemutihan ini untuk memastikan keadilan dalam proses pengagihan. Unit kosong hasil pemutihan akan diagihkan semula kepada pemohon lebih memerlukan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Dr. Zaliha berkata, beliau terpanggil untuk memberi respon tentang isu notis pengosongan rumah PPR yang menjadi keresahan rakyat sejak beberapa hari ini.

Menurutnya, Kerajaan Madani mewarisi satu cabaran legasi yang besar dalam memastikan kemudahan PPR benar-benar sampai kepada golongan memerlukan.

Katanya, dengan kadar sewa hanya RM124 sebulan, rumah PPR antara subsidi besar kerajaan untuk membantu keluarga B40 hidup dengan lebih selesa di ibu kota.

Ujarnya, DBKL menetapkan syarat iaitu penyewa suami dan isteri warga Malaysia dan pendapatan terkumpul suami isteri bagi kos rendah kurang RM3,000, manakala kos sederhana kurang RM4,000.

“Syarat lain tidak mempunyai rumah atau tanah di dalam lingkungan 35km dari pusat bandar KL; berkahwin, berpasangan, janda, duda atau ibu bapa tunggal, tinggal atau bekerja di Kuala Lumpur dan berdaftar dengan DBKL.

“Proses pemutihan sedang dijalankan DBKL untuk menegakkan syarat-syarat ini. Pemakluman kepada penyewa telah diberi enam bulan sebelum tarikh tamat tempoh kontrak mereka,” katanya.

Beliau berkata, golongan B40 yang benar-benar layak tidak akan terjejas, manakala mereka yang terkesan boleh membuat rayuan kerana DBKL menyediakan mekanisme rayuan dalam tempoh 30 hari.

Katanya, bagi penyewa yang berdepan masalah tunggakan sewa pula, DBKL bersedia berunding untuk menetapkan kadar dan jadual pembayaran ansuran.

“Penyewa hanya perlu membuat aku janji untuk mematuhi jadual tersebut, supaya mereka boleh terus menetap di rumah PPR dengan syarat-syarat yang dipersetujui.

“Untuk rekod, pada masa ini tunggakan sewa PPR dan Perumahan Awam DBKL mencecah sehingga RM70 juta,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI