KOTA KINABALU – Datuk Ram Singh menjelas faktor utama beliau menjadi peguam bela kepada salah seorang tertuduh terlibat kes buli Allahyarham Zara Qairina Mahathir berikutan sedih dengan apa yang menimpa tertuduh dalam kes tersebut.
Ram berkata naluri seorang ayah juga mendorong beliau berbuat demikian.
“Saya sedih dan sebagai seorang bapa, memandangkan mereka masih kanak-kanak. Oleh itu saya melakukannya secara pro bono bersama peguam lain.
“Dalam pada itu, saya juga mahu menegaskan kami mewakili mereka bukan kerana tertuduh daripada dalam kalangan anak VVIP,” Katanya.
Ram berkata demikian ketika ditemui sebelum prosiding pertuduhan terhadap lima remaja yang berlangsung di Mahkamah Kanak-Kanak pada Rabu.
Sementara itu, van polis yang membawa lima remaja terbabit dilihat meninggalkan Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu sekitar pukul 2.05 petang selepas selesai prosiding di Mahkamah Kanak-Kanak pagi tadi.
Kenderaan terbabit dikawal ketat anggota polis sebaik keluar dari perkarangan mahkamah sebelum bergerak ke lokasi yang tidak dketahui. – KOSMO! ONLINE