fbpx
Hilman (tengah) ketika ditemui selepas prosiding hari ini. Foto M. FIRDAUS M. JOHARI / KOSMO!

Saya akan lawan dan minta dibicara – Hilman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Muhammad Hilman Idham mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mengeluarkan kenyataan yang boleh menggugat ketenteraman awam.

“Saya akan lawan dan minta dibicarakan”, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Amirah Abdul Aziz.

Mengikut pertuduhan, Muhammad Hilman didakwa mengeluarkan kenyataan yang mungkin menimbulkan kegentaran awam dan boleh mendorong mana-mana orang supaya melakukan kesalahan terhadap ketenteraman awam di sebuah akaun TikTok pada pukul 2.09 petang, 30 Julai lalu.

Kenyataan tersebut telah dilihat dan didengar oleh pegawai polis di Jabatan Siasatan Jenayah Komersil di Menara KPJ, Jalan Tun Razak di sini.

Pertuduhan terhadap Muhammad Hilman dikemukakan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.

Pengarah Pendakwaan Kuala Lumpur, Datuk Badiuszaman Ahmad mencadangkan jaminan RM10, 000 dengan seorang penjamin namun peguam bela, Muhammad Rafique Rashid Ali memohon jumlah ikat jamin lebih rendah.

Peguam terbabit menyatakan anak guamnya akan memberikan kerjasama sepanjang perbicaraan di samping perlu meneruskan khidmat sebagai wakil rakyat di kawasannya.

Selain Muhammad Rafique, tertuduh turut diwakili oleh peguam-peguam bela, Zolazrai Zolkapli, Alias Rasman dan Afiqa Nardin.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 9 Oktober ini untuk sebutan semula kes.

Semalam, Jabatan Peguam Negara (AGC) memaklumkan pendakwaan terhadap Muhammad Hilman dibuat susulan kenyataannya dalam video di akaun TikTok ‘alfah.channel.tv’.

“Kenyataan yang dibuat oleh individu ini didapati menggugat ketenteraman awam atau penggunaan yang tidak wajar terhadap kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian,” kata AGC.

Video akaun TikTok ‘alfah.channel.tv’ memaparkan ucapan Muhammad Hilman ketika Himpunan Malam Solidariti Tolak Akta Hasutan pada 29 Julai lalu.

Difahamkan, himpunan itu dianjurkan bagi membantah penggunaan Akta Hasutan 1948 terhadap pemimpin politik dan aktivis.

Selepas perhimpunan berkenaan, beberapa pemimpin parti itu ditahan polis bagi membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI