PETALING JAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) menyambut baik cadangan Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menggerakkan program pembudayaan nilai integriti dan akauntabiliti secara menyeluruh di peringkat pra sekolah, sekolah rendah dan menengah.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, cadangan itu merupakan ‘penjelasan’
yang dinantikan dalam usaha mencari cara terbaik untuk membudayakan nilai integriti dalam kalangan masyarakat secara organik dan KPM komited untuk menyesuaikan cadangan tersebut melalui inisiatif pembinaan karakter yang sedang dilaksanakan KPM.
“Konsep dibawa PPPR hari ini mudah difahami dan bertepatan dan boleh disesuaikan dengan peranan kementerian dalam melaksanakan inisiatif pendidikan nilai baik sedia ada termasuk Generasi Madani, Pelan Pembangunan Pendidikan Negara dan Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pengerusi PPPR, Datin Yasmin Ahmad Merican berkata, agenda yang diketengahkan dalam misi program pencegahan rasuah berskala nasional oleh badan pemantau bebas SPRM PPPR itu sangat mudah diadaptasi tanpa menambah beban pembelajaran kepada generasi masa ini.
Menurut beliau, pendekatan itu lebih tertumpu kepada usaha membudayakan nilai-nilai murni yang mampu merentas jurang generasi, sejajar dengan inisiatif semasa yang dilaksanakan oleh KPM dalam meningkatkan kesedaran dalam kalangan murid dan pelajar sekolah.
“Oleh itu, kami mohon agar pihak kementerian sedia berganding bahu dalam menjayakan misi meningkatkan kesedaran nasional terhadap antirasuah.
“Ini boleh dilakukan dengan menyatukan nilai integriti ke dalam inisiatif semasa yang sedang digerakkan oleh pihak Kementerian, seperti konsep Karamah Insaniah dan Generasi Madani,” katanya.
Terdahulu, kenyataan tersebut memaklumkan, Yasmin membentangkan cadangan kerjasama strategik tersebut kepada Menteri Pendidikan semalam .
Dalam pertemuan itu, Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, Datuk Ahmad Nizam Ismail turut berkongsi kepada Menteri Pendidikan mengenai buku ‘Harga Sebuah Kejujuran’
Buku tersebut dihasilkan oleh pasukan penyelidik Universiti Utara Malaysia dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) untuk digunakan sebagai bahan bacaan murid pra sekolah. – KOSMO! ONLINE