KUALA LUMPUR – Polis Kuala Lumpur mengesahkan siasatan dibuka terhadap penganjur perhimpunan yang berlangsung di Jalan Parlimen baru-baru ini sehingga menyebabkan seorang pegawai polis cedera.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, pihaknya sedang melengkapkan kertas siasatan dan tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang terlibat, termasuk penganjur.
“Siasatan dibuka dan kita akan mengambil tindakan melibatkan penganjur serta individu yang terbabit dalam aktiviti berkenaan.
“Kes ini masih dalam siasatan dan sebarang perkembangan atau tangkapan suspek akan dimaklumkan segera kepada umum,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur di sini, hari ini.
Menurut beliau, insiden di Parlimen itu menyebabkan seorang pegawai polis cedera ketika menjalankan tugas mengawal keadaan.
Tambahnya, polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang menimbulkan kekecohan serta mencederakan anggota keselamatan ketika bertugas.
Kosmo! pada 13 Ogos lalu melaporkan polis membuka kertas siasatan berhubung insiden kekecohan semasa penyerahan memorandum di Jalan Parlimen yang mengakibatkan seorang pegawai polis cedera selepas dirempuh peserta perhimpunan.
Kejadian itu tular menerusi rakaman video berdurasi dua minit 31 saat yang dimuat naik di aplikasi TikTok melalui akaun MalaysiaPost Official. – KOSMO! ONLINE