JOHOR BAHRU – Polis membuka satu kertas siasatan berhubung insiden tular rakaman video seorang kanak-kanak lelaki telah ditendang di bahagian perut oleh seorang kanak-kanak lelaki lain di Kawasan Perumahan Molek Ria, Taman Molek, di sini.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd. Sohaimi Ishak berkata, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana sengaja mendatangkan cedera.
“Polis telah menerima satu laporan polis yang dibuat ibu mangsa yang berusia 33 tahun selepas kejadian anaknya ditendang.
“Siasatan awal dibuat mendapati kejadian itu berlaku pada pukul 2.03 petang, 14 Julai lalu dipercayai oleh seorang pelaku yang juga menetap di kawasan kediaman sama,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan satu rakaman video berdurasi satu minit 25 saat tular memaparkan seorang kanak-kanak lelaki berseluar pendek ditendang pada bahagian perut oleh seorang kanak-kanak lain.
Kejadian itu disyaki berlaku di Blok C, Perumahan Molek Ria, Taman Molek di sini, 14 Julai lalu. – KOSMO! ONLINE