JOHOR BAHRU – Seorang penganggur yang didakwa membakar lori tunda Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Jumaat lalu dihukum penjara lima tahun beserta enam kali sebatan oleh Mahkamah Sesyen, di sini hari ini.
Keputusan itu dibuat Hakim Thalha Bachok @ Embok Mok selepas tertuduh, Wan Muhammad Nasrul W. Ahmad, 31, mengaku bersalah atas pertuduhan pindaan dibacakan terhadapnya.
Berdasarkan pertuduhan pindaan, dia didakwa melakukan khianat menggunakan petrol dengan niat mengakibatkan kebinasaan dengan cara membakar lori tunda milik MBJB sehingga menyebabkan kerugian berjumlah RM24,000.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di Depoh Simpanan Kenderaan, Lot 1, Johor Bahru Waterfront di sini, pada pukul 11.07 pagi, Jumaat lalu.
Terdahulu, dalam rayuannya, tertuduh mengaku telah membakar lori tunda MBJB tersebut kerana berasa marah setelah kereta Perodua Axia miliknya ditarik pihak berkuasa tempatan (PBT), sehari sebelum kejadian.
“Betul, saya yang bakar. Saya berasa marah sebab kereta ditarik. Saya dah minta pengecualian kompaun tetapi daripada RM500 jadi RM250, kalau RM200 pun saya tak ada duit nak bayar.
“Saya orang susah, banyak komitmen yang saya tanggung sendiri. Saya banyak hutang, kereta, motosikal dan rumah. Saya juga baharu sahaja hendak mula bekerja,” katanya sebelum hukuman dijatuhkan.
Timbalan Pendakwa Raya, Siti Fatimah Mamu bagaimanapun memohon mahkamah memberikan hukuman setimpal agar kerana perbuatan dibuat tertuduh adalah kesalahan serius. – KOSMO! ONLINE