KUALA LUMPUR – Penagih dadah kini mempunyai lebih banyak peluang untuk mendapatkan rawatan pemulihan selepas pindaan terbaharu Akta Penagihan Dadah (APD) dilaksanakan oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).
Ketua Pengarahnya, Datuk Ruslin Jusoh berkata, melalui pindaan terbaru akta itu, AADK memberi lebih banyak akses rawatan kepada penagih.
“Mereka diberi dua pilihan iaitu datang secara sukarela untuk rawatan pemulihan atau ditangkap dan ditahan di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) selama dua tahun di bawah Seksyen 6 APD.
“Penagih baharu atau salah guna dadah sekali-sekala juga boleh dikenakan tindakan,” katanya pada sidang akhbar di Jalan Imbi, malam tadi.
Beliau berkata, ada antara individu yang ditahan bekerja sebagai pengawal keselamatan berdaftar, pekerja kontrak dan buruh binaan.
“Penagih memerlukan sekurang-kurangnya RM50 hingga RM200 sehari untuk membeli bekalan dadah. Jika tiada pekerjaan tetap, mereka terdedah kepada aktiviti jenayah kecil,” katanya.
Menurutnya, kesemua yang ditahan akan direman selama 14 hari bagi siasatan lanjut selain menjalani ujian air kencing dan pengesahan perubatan.
“Mahkamah kemudian akan memutuskan sama ada mereka ditahan di Puspen atau diberi peluang rawatan dalam komuniti,” ujarnya.
Katanya, trend penagihan di Kuala Lumpur lebih tertumpu kepada syabu, manakala di pantai timur dadah pilihan adalah pil kuda.
“Dadah tradisional seperti heroin dan ganja masih ada, terutama dalam kalangan penagih lama atau ‘otai’ ,” jelasnya.
Tambahnya, AADK sentiasa menyeimbangkan antara operasi penguatkuasaan dan pemulihan penagih.
“Hasrat kita adalah menggalakkan mereka yang baru terjebak supaya segera mendapatkan rawatan sebelum menjadi penagih tegar.
“Bagi penagih lama berusia 40 hingga 60 tahun, proses rawatan lebih mencabar, namun kita tetap berikan modul pemulihan terbaik,” katanya. – KOSMO! ONLINE