PETALING JAYA – Orang ramai bakal menikmati diskaun sehingga 50 peratus apabila membeli buku di karnival MPH Book&Gift Mega Fair @Alamanda anjuran MPH Bookstores di pusat beli belah Alamanda, Putrajaya bermula esok.
Karnival yang berlangsung selama 13 hari sehingga 1 September itu akan dibuka kepada pengunjung bermula pukul 10 pagi sehingga 10 malam dan menawarkan ratusan ribu buku untuk dipilih serta dibeli oleh pengunjung.
Eksekutif Kanan Pemasaran MPH Bookstores, Mohamad Fais Suhaimi berkata, diskaun sehingga 50 peratus itu diberikan untuk buku dan barangan terpilih.
Jelasnya, selain buku, karnival tersebut turut menyediakan jualan pelbagai alat tulis dan cenderamata.
“Kita juga ada tawar diskaun harian sebanyak 20 peratus bagi item-item terpilih.
Selain itu, pengunjung juga boleh bertemu penulis-penulis buku terkenal termasuk selebriti sukan Datuk K.Rajagobal pada sesi Meet&Greet,” katanya kepada Kosmo!.
Mengulas lanjut, Mohamad Fais berkata, bagi pengunjung yang membuat pembelian lebihi RM60 akan mendapat baucar MPH sebanyak RM5.
Selain sesi jualan tersebut katanya, MPH turut menyediakan pelbagai aktiviti sampingan lain seperti pertandingan mewarna dan congkak bagi pengunjung yang hadir.
Ujarnya, kedua-dua pertandingan itu menawarkan hadiah keseluruhan sebanyak RM3,000.
“Pada hari perasmian karnival iaitu Khamis (esok), kita akan beri anugerah kepada pelajar sekolah yang aktif dalam Program Nadi Ilmu Amalan Membaca.
“Anugerah ini akan diberikan kepada pelajar di 27 buah sekolah di Putrajaya merangkumi 16 buah sekolah rendah dan 11 sekolah menengah,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE