fbpx
Skuad hoki lelaki negara, Speedy Tigers, ketika saingan Piala Negara-Negara pada Jun lalu. - MHC

Speedy Tigers perlu pertahan kedudukan Asia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Ketua jurulatih skuad hoki lelaki negara, Sarjit Singh menegaskan Piala Asia 2025 di Bihar bukan sekadar perebutan kejuaraan, sebaliknya medan penting untuk memastikan Malaysia terus kekal sebagai pasukan nombor dua Asia.

Sarjit berkata, kedudukan Speedy Tigers kini rapuh apabila hanya enam mata mengatasi Korea dalam ranking Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH), sekali gus menjadikan kejohanan kali ini amat kritikal buat skuad negara.

“Mata ranking sangat penting. Sekarang kita hanya enam mata di atas Korea, jadi setiap kejohanan termasuk Piala Asia ini amat penting untuk kita pastikan jarak itu tidak dirapatkan,” katanya pada sidang media pengumuman skuad ke Bihar, hari ini.

Dalam masa sama, Sarjit mengakui isu kecergasan yang membelenggu pasukan pada aksi Piala Negara-Negara di Kuala Lumpur sudah semakin baik hasil latihan intensif bersama Institut Sukan Negara (ISN).

“Kita telah buat fitness dengan ISN untuk lebih kurang enam hingga tujuh minggu. Jadi kita sudah bersedia, tetapi pasukan lain juga bersedia. Seperti kita tahu Korea, China dan Jepun, tahap kecergasan mereka memang berbeza, tetapi kita makin hampir ke tahap itu.

“Di peringkat antarabangsa seperti Piala Asia, kita sudah berada di tahap itu. Cuma program di China, Korea dan Jepun jauh berbeza, budaya mereka juga lain,” ujarnya.

Dalam masa sama, jurulatih itu turut menyatakan format kejohanan di Bihar menuntut Speedy Tigers mengharungi tiga perlawanan dalam tempoh empat hari dengan cuaca panas, faktor yang dianggap ujian paling besar buat pemain.

“Tetapi saya rasa kita ada peluang yang baik untuk bermain di final. Sudah tentu sasaran kita adalah layak ke final, harap pemain beraksi baik,” tambah Sarjit. KOSMO! ONLINE.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI