fbpx
Anwar (tiga dari kiri) merasmikan Loji Rawatan Air Langat 2 di Hulu Langat, Selangor hari ini.

Loji Rawatan Air Langat 2 manifestasi terpenting negara – Anwar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Loji Rawatan Air Langat 2 di Hulu Langat merupakan sebuah projek gergasi mega yang menjadi manifestasi terpenting negara.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, Loji Rawatan Air Langat 2 menjadi bukti keupayaan anak bangsa menguasai teknologi canggih dalam usaha dan upaya negara memenuhi keperluan strategik rakyat serta negara.

“Pembangunan dan pembinaan loji rawatan air ini ternyata menjadi simbol bagaimana ia mencerminkan hasrat kita dalam mengangkat siling ekonomi dan meninggikan lantai kesejahteraan rakyat.

“Ia tentunya menuntut sikap dan budaya pengurusan berintegriti dan cekap, pasukan tenaga profesional terlatih serta semangat kebersamaan yang tinggi dan erat dalam menjamin antara bekalan asas negara yakni akses kepada bekalan air yang bersih, berkualiti dan mampan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Perdana Menteri berkata, beliau menekankan bahawa air dan sumber tenaga adalah nadi pembangunan kerana tanpa keduanya mustahil negara mampu menjadi destinasi tumpuan pelaburan, pusat teknologi dan hab data serantau.

Menurut beliau, melalui kerjasama erat Kerajaan Persekutuan, negeri serta syarikat tempatan, Malaysia mampu menjelmakan projek raksasa bernilai berbilion ringgit dengan kepakaran anak tempatan.

“Justeru, saya punyai harapan setingginya agar usaha ini dapat memperkukuh daya tahan ekonomi, memantapkan tahap keselesaan hidup rakyat serta memartabatkan prinsip tatakelola yang baik.

“Sekalung penghargaan kepada semua yang menjayakan Langat 2 yang pastinya menjadi legasi untuk generasi hari ini dan yang akan datang,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI