SAAT kumpulan orkestra yang dianggotainya diumumkan sebagai pemenang Anugerah Emas dalam Festival Orkestra Dunia ke-11 di Vienna, Austria pada bulan lalu, Cinta Nur Iman Hamdan, 16, berasa semua penat lelahnya berlatih dan mengatasi rasa gugup di pentas antarabangsa terasa berbaloi.
Cinta Nur Iman, pelajar Sekolah Seri Puteri (SSP) Cyberjaya merupakan salah seorang anggota Seri Puteri Symphonic Winds Orchestra (SPWinds) yang baru-baru ini melakar sejarah apabila bukan sahaja menjadi pasukan wakil tunggal negara bahkan dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Emas pada acara berprestij itu.
“Saya berasa sangat bersyukur dan terharu kerana segala pengorbanan dan usaha yang telah saya curahkan selama ini ternyata sangat berbaloi. Saya juga amat gembira kerana dapat mengharumkan nama SSP dan negara di peringkat dunia.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Pengetua, Puan Julaila Yahya, seluruh barisan guru SPWinds yang diketuai oleh Puan Shahriyah Abdul Rashid dan konduktor SPWinds, YM Raja
Muzafar Shah atas sokongan padu dalam merealisasikan impian kami untuk bertanding di Vienna,” katanya kepada K-Remaja.
Media sebelum ini melaporkan, orkestra sekolah tersebut, SPWinds telah meraih Anugerah Emas dalam Festival Orkestra Dunia ke-11 yang berlangsung di Vienna dari 23 hingga 26 Julai lalu.
Seramai 66 pelajar berusia antara 13 hingga 17 tahun dari sekolah berkenaan menyertai kategori Remaja bagi Orkestra Alat Muzik Tiupan dan Brass.
Mereka mempersembahkan dua karya iaitu Amana oleh Hiroaki Kataoka serta komposisi tempatan Rai dan Tari oleh Yeo Chow Shern.
Persembahan berlangsung di beberapa lokasi ikonik seperti Wiener Musikverein (Golden Hall), House of Strauss dan MuTh Concert Hall.
Cinta Nur Iman mengakui biarpun sibuk mengimbangi pelajaran dan sesi latihan, dia belajar banyak perkara melalui penyertaan itu seperti betapa pentingnya semangat berpasukan yang kuat bagi memastikan semua berjalan dengan lancar.
“Saya juga sedar bahawa kejayaan tidak datang dengan mudah. Ia memerlukan pengorbanan, kesungguhan dan komitmen yang konsisten,” katanya.
SEBAGAI salah seorang yang menyertai kumpulan itu, Cinta Nur Iman berkongsi, dia menyedari minatnya terhadap seni persembahan orkestra didorong rasa kagum melihat kakaknya yang turut pernah menganggotai SPWinds ketika dia menjalani latihan.
“Sebenarnya, kakak saya sendiri merupakan bekas ahli SPWinds.
“Melihat cara dia berlatih bersama rakan-rakannya dengan penuh dedikasi dan semangat setiap hari telah menjadi sumber inspirasi utama kepada minat saya terhadap seni ini,” katanya.
Ibu Cinta Nur Iman, Shuhaida Mat Noor, 51, turut berkongsi sebaik sahaja anaknya diterima masuk ke sekolah berprestij itu, Cinta Nur Iman sudah pun menyatakan hasrat untuk menyertai SPWinds.
“Sudah tentu saya berasa amat bangga dan gembira apabila anak saya menjadi salah seorang yang mengharumkan nama sekolah dan Malaysia di peringkat antarabangsa. Sebagai seorang ibu, saya memberikan sokongan dari segi emosi, kewangan dan semangat, walaupun anak saya tinggal di asrama.
“Saya sentiasa pastikan dia tahu bahawa saya sentiasa ada untuknya walau dari jauh, melalui kiriman mesej, panggilan telefon dan kata-kata semangat, terutama ketika dia menghadapi cabaran dalam latihan,” kata wanita kelahiran Kelantan itu.
Shuhaida menambah dia juga melihat perubahan positif dalam diri anak-anaknya selepas menyertai pasukan itu.
“Setelah menyertai SPWinds, saya lihat anak-anak saya lebih bijak membahagikan masa, matang dalam membuat keputusan dan memiliki keyakinan diri yang tinggi,” jelasnya.
Bagi seorang lagi ahli kumpulan SPWinds yang mencipta kejayaan di Austria itu, Nur Qaisara Azman, 17, dia merasakan kemenangan di peringkat antarabangsa itu merupakan kenangan yang akan kekal terpahat dalam hatinya, memandangkan dia berpeluang berdiri sebaris bersama para pemuzik dan konduktor hebat di pentas berprestij.
Sama seperti Cinta Nur Iman, Nur Qaisara berkata, minat terhadap muzik berputik sejak di bangku sekolah rendah, didorong oleh kakaknya yang juga merupakan bekas peserta SPWinds yang bertanding pada 2017 di Amsterdam, Belanda dan juga Sydney, Australia pada 2019.
SPWinds pernah dilaporkan mendapat pingat emas Festival Muzik Antarabangsa Australia di Sydney pada 2019.
Bahkan, sejak tahun 2012 lagi, SPWinds telah memenangi pelbagai pertandingan di luar negara.
“Dia (kakak) menjadi sumber inspirasi yang membakar semangat saya untuk melangkah ke dunia seni orkestra.

“Setiap persembahan kakak di luar negara saya ikuti penuh kagum sekali gus saya menanam impian suatu hari nanti untuk turut berdiri di pentas yang sama, membawa nama sekolah tercinta,” katanya.
Biarpun berdepan cabaran seperti terpaksa membahagi masa antara latihan orkestra yang intensif dan persediaan menghadapi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), namun Nur Qaisara tidak mahu mengalah.
“Jadual yang padat sering membuat saya letih, namun saya tidak mahu mengalah. Lebih mencabar lagi, hanya seminggu selepas pulang ke tanah air, saya terus berdepan ujian percubaan SPM,” kongsinya.
Bangga dengan kejayaan anaknya, Noorshizatulshima Nordin, 48, berkata, biarpun tahu pihak sekolah sering menghantar para pelajar ke pertandingan di peringkat antarabangsa, dia sama sekali tidak menyangka tahun ini, mereka mampu pulang segemilang ini.
Sebagai ibu kepada Nur Qaisara, dia sentiasa memastikan untuk memberikan sokongan moral dan meniupkan kata-kata semangat buat anak remajanya itu sebagai persediaan mengharumkan nama sekolah dan juga sebagai calon SPM 2025.
“Saya juga amat bersyukur berpeluang menemaninya ke Vienna, bukan sahaja untuk berikan sokongan emosi, tetapi juga memastikan segala keperluannya di sana terjaga, agar dia dapat memberi tumpuan sepenuhnya kepada persembahan.
“Sejak menyertai SPWinds juga, saya melihat perubahan besar pada anak saya iaitu daripada seorang yang pendiam dan introvert, kini dia mempunyai keyakinan diri yang tinggi serta mampu memimpin rakan-rakan pelajar lain, membuatkan saya cukup gembira,” ujarnya mengakhiri bicara.
Berkongsi kegembiraan menerusi hantaran Facebook, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, beliau terasa berbaloi apabila menunggu kepulangan puteri-puteri pasukan orkestra SPWinds hingga tengah malam pada 30 Julai lalu.
“SPWinds sekali lagi melakar sejarah tersendiri membanggakan nama Malaysia di pentas antarabangsa apabila dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Emas Festival Orkestra Dunia ke-11 di Vienna.
“Kejayaan gemilang ini membuktikan anak-anak Malaysia boleh mencapai kejayaan di peringkat tertinggi jika diberi peluang dan dibimbing dengan baik.
“Terima kasih puteri-puteri SPWinds kerana membanggakan negara. Teruskan menginspirasikan kami semua!” tulisnya.














