CAPE TOWN – Seorang juruterbang berpengalaman hilang selepas pesawatnya terhempas ke dalam laut di hadapan penonton semasa persembahan terakhir pada sebuah pertunjukan udara di Afrika Selatan, lapor portal berita MailOnline semalam.
Rakaman video seorang saksi dari pantai berdekatan di Durban memaparkan pesawat ZS-AEC Extra 300 itu menjunam ke dalam laut pada Khamis lalu.
Klip video itu memaparkan pesawat tersebut sedang naik ke udara dan membelok sebelum terjunam ke dalam laut, hanya beberapa meter dari pantai.
Ketika itu, juruterbang Syarikat Penerbangan Afrika Selatan, Andrew Blackwood-Murray, 61, dari Johannesburg sedang melakukan persembahan terakhirnya.
Pasukan penyelamat segera dimaklumkan oleh orang ramai di pantai yang menyaksikan pesawat itu menjunam.
Ketua penyelamat Institut Penyelamat Laut Kebangsaan (NSRI), Lorenzo Taverna-Tunisan mengesahkan bahawa pasukannya mencari bangkai pesawat.
Beberapa bahagian bangkai pesawat telah ditemui, namun jasad juruterbang aerobatik berpengalaman itu masih belum ditemukan.
Pencarian juruterbang itu masih diteruskan. – AGENSI