BESUT – Biarpun lebih 80 tahun berlalu, seorang lelaki warga emas di Kampung Padang Luas di sini masih tidak dapat melupakan kesengsaraan sewaktu membesar dalam zaman penjajahan Jepun pada awal tahun 1940-an.
Ab. Latif Mohd., 84, berkata, biarpun masih terlalu kecil pada waktu itu, memori kekejaman tentera negara Matahari Terbit terbabit masih tersimpan dalam sanubarinya sehingga kini.
“Saya tidak dapat melupakan betapa susahnya hidup pada zaman penjajahan Jepun sehinggakan kelahiran saya pun lewat didaftarkan.
“Kami sentiasa ketakutan dan akan menyorok setiap kali anggota tentera Jepun memasuki perkampungan kami,” katanya ketika ditemui Kosmo! di rumahnya di Kampung Padang Luas di sini semalam.
Ab. Latif berkata, dia dan keluarganya yang ketika itu menetap di Kampung Alor Lintah berkata, tentera Jepun gemar memasuki perkampungan mereka untuk merampas makanan serta hasil pertanian dan ternakan penduduk.
Dia berkata, tambah menakutkan tentera penjajah itu juga suka menangkap wanita bagi dijadikan hamba nafsu mereka.
“Setiap kali tentera Jepun masuk kampung, penduduk kampung akan menyembunyikan isteri dan anak-anak perempuan mereka bagi mengelakkan daripada ditangkap dan dibawa lari.
“Tidak terkecuali empat kakak saya. Seingat saya, mereka akan bersembunyi di dalam gulungan tikar atau menyorok di penjuru rumah sebaik terdengar kenderaan dinaiki tentera Jepun memasuki kampung,” katanya.
Ab. Latif berkata, kes kecurian dan rompakan juga kerap berlalu pada zaman penjajahan Jepun.
Katanya, ia disebabkan demi kelangsungan hidup kerana rata-ratanya rakyat hidup susah pada zaman Perang Dunia Kedua itu.
“Keadaan mula berubah sedikit demi sedikit selepas Jepun berundur dan negara mencapai kemerdekaan pada 1957.
“Orang muda tidak merasai keperitan dan deritanya dijajah. Hargailah kebebasan dan kemerdekaan ini sebaiknya,” katanya.














