TEL AVIV – Menteri Pertahanan, Israel Katz meluluskan rancangan untuk menakluki sepenuhnya Bandar Gaza dan memanggil seramai 60,000 anggota tentera simpanan Rejim Zionis.
Jurucakap kementerian berkenaan mengesahkan laporan tersebut ketika dihubungi agensi berita AFP.
Kenyataan itu sekali gus menimbulkan tekanan ke atas kumpulan pejuang Hamas yang bersetuju dengan cadangan baharu gencatan senjata dalam perang hampir dua tahun di Gaza.
Biarpun pengantara Qatar yang disokong Amerika Syarikat telah menyatakan keyakinan terhadap cadangan tersebut, seorang pegawai kanan Israel menekankan bahawa kerajaannya tetap berdiri teguh dalam gesaan untuk membebaskan semua tebusan secara serentak.
Seorang pegawai tentera memberitahu hari ini bahawa kira-kira 50,000 pasukan simpanan akan dipanggil dengan pelan itu dijangka bermula bulan depan.
“Pasukan utama yang beroperasi di Gaza dalam peringkat serangan seterusnya terdiri daripada tentera aktif yang hanya menumpukan Bandar Gaza.
“Tentera sudah beroperasi di kawasan kejiranan Zeitoun dan Jabalia di Bandar Gaza sebagai sebahagian daripada peringkat awal rancangan itu,” katanya. – AFP