fbpx
SEPERTI malam keraian cinta dan muzik, Hael mempersembahkan sebuah persembahan yang cukup bermakna pada konsertnya yang turut disertai Dayang Nurfaizah di Zepp tempoh hari. – SYAKIR RADIN

‘Disorak kahwin, itu cara saya diraikan’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JIKA ditanya, siapa antara penyanyi lelaki yang berada di puncak kerjaya ketika ini, jawapannya mudah, pasti nama Hael Husaini mendahului carta.

Lahir daripada program Akademi Fantasia, penyanyi berusia 37 tahun itu berjaya membuktikan kredibilitinya apabila tampil dengan konsert, Hael Husaini & Repertoire di Zepp KL baru-baru ini.

Jika diikutkan, Hael pernah membatalkan konsert pada tahun 2023 akibat kesihatan, namun dia kembali mengubat kekecewaan dengan menghadiahkan momen manis buat para peminatnya.

Padat dan ‘full house’, Zepp KL seperti tiada ruang kosong pada acara yang berlangsung selama hampir tiga jam tersebut.

Menariknya, Hael tidak sendirian, sebaliknya ditemani barisan penyanyi yang juga rakan seangkatannya, Nabila Razali, Nadeera dan Wany Hasrita.

Lebih eksklusif, Hael turut berjaya menampilkan Dayang Nurfaizah pada konsert tersebut.

Tidak keterlaluan sekiranya penulis menyifatkan konsert tersebut seperti pentas meraikan karya-karya ciptaan pemilik nama penuh Hal Husaini Razmi itu.

Antara lagu yang dipersembahkan adalah singlenya sendiri seperti Sumpah, Hajat dan Hati.

Dia bahkan turut berduet bersama Nadeera bagi menyampaikan lagu Peluk dan Peluang Kedua dengan Nabila.

Kejutan paling tidak disangka pada malam tersebut pastinya kemunculan Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza yang turut menyampaikan lagu ciptaan Hael, Anta Permana.

Ujar Hael, hampir tidak dapat memenuhi undangan kerana kekangan masa, namun mengesahkan persembahannya dua hari sebelum acara tersebut berlangsung.

“Kalau ikutkan nak yakinkan Siti bukanlah susah sebab dia memang akan beri kerjasama.

“Siti hanya maklumkan ‘last minute’ yang dia hanya datang nak singgah dua hari sebelum konsert.

“Itu memang rezeki saya untuk bawa dia sebagai kejutan kepada peminat pada konsert tersebut,” katanya.

Jeritan ‘kahwin’

Usai kejutan Siti, pentas kembali gamat dengan kemunculan Dayang di pentas bagi menyampaikan lagu duet bersama Hael.

Mereka yang didakwa mempunyai hubungan istimewa itu meraih jeritan ‘kahwin’ daripada penonton.

Namun bagi Hael, laungan ‘kahwin’ itu mungkin bukan ditujukan untuknya dan Dayang sebaliknya kepada selebriti lain.

“Rasanya sorakan itu bukan untuk saya dan Dayang, mungkin untuk pasangan lain. Tidak mengapa, saya anggap itu sebagai salah satu cara lagu-lagu saya diraikan.

“Ada lagu saya yang sedih dan meraikan kebahagiaan. Bila orang mendoakan, itu sudah menjadi kejayaan terbesar malam ini,” katanya lagi.

Konsert anjuran Astro bersama Rocketfuel Entertainment turut membawa kumpulan baharu ALPHA yang juara program realiti Big Stage Alpha.

Pada malam tersebut, mereka mendendangkan karya-karya milik Hael seperti Bujang dan Lara, selain single milik mereka iaitu P. Ramle & Saloma serta Monalisa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI