KUALA LUMPUR – Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) masih memperincikan pelaksanaan Dasar Pembangunan Bakat Perkhidmatan Awam termasuk meneliti cadangan memberi peluang kepada penjawat awam muda memegang jawatan penting dalam kerajaan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Zaliha Mustafa berkata, melalui dasar yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim minggu lalu, JPA dijangka memberi tumpuan terhadap merit terbabit.
“Dasar ini memberi penekanan serupa seperti mana dilaksanakan negara jiran iaitu Singapura melalui program kepimpinan perkhidmatan awamnya yang memberi peluang dan laluan pantas kepada penjawat awam muda.
“Pelaksanaan masih diperincikan lagi dan saya kira JPA mengambil perkara ini dan perlu dipertimbangkan dengan sangat teliti. Sudah tentu mana-mana yang berkaitan merit ini akan diberi tumpuan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) yang mahu tahu sama ada kerajaan akan membuka peluang kepada penjawat awam muda dilantik sebagai Ketua Setiausaha (KSU) seperti di Singapura yang mana kebanyakan jawatan itu digalas mereka yang berusia lingungan 40-an.
Zaliha berkata, dasar itu memberi tumpuan kepada pembangunan bakat, laluan kerjaya yang jelas dan budaya kerja cemerlang, dengan penekanan diberikan kepada dua jenis bakat.
Katanya, dua bakat berpotensi itu ialah pegawai menunjukkan prestasi cemerlang serta berkemampuan melaksanakan tanggungjawab di gred jawatan lebih tinggi. -KOSMO! ONLINE.