DUBAI – Pemandu di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) berdepan saman sebanyak 400 dirham (RM460) sekiranya mengekori kenderaan hadapan pada jarak terlalu rapat, lapor laman berita Gulf News kelmarin.
Polis Dubai berkata, pemandu yang melakukan kesalahan itu juga akan dikenakan denda empat mata hitam selain kenderaan turut disita selama 30 hari.
Mengekori terlalu rapat dianggap sebagai salah satu tabiat pemanduan yang paling berbahaya kerana ia secara signifikan meningkatkan risiko perlanggaran secara tiba-tiba.
Perbuatan itu juga meningkatkan risiko kemalangan membabitkan banyak kenderaan.
Bagi membendung tingkah laku itu, polis meningkatkan penguatkuasaan dengan menggunakan radar canggih yang dilengkapi kecerdasan buatan (AI).
Ia dapat mengesan pesalah lalu lintas dan secara automatik mengeluarkan saman. – AGENSI