PUTRAJAYA – Cadangan untuk menggubal undang-undang Akta Anti Buli yang menggunakan sistem tribunal bagi mendengar kes buli membabitkan pelajar dan kanak-kanak akan dibawa ke mesyuarat Kabinet.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, cadangan itu akan dibawa Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.
“Nanti (Azalina) akan bawa ke (mesyuarat) Kabinet, kita akan bincang di Kabinet,” katanya ringkas ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan di sini, hari ini.
Sebelum ini, Azalina berkata, kerajaan akan meneliti keperluan untuk menggubal Akta Anti-Buli yang memberi penekanan kepada penubuhan sebuah tribunal, bagi mendengar kes buli melibatkan pelajar dan kanak-kanak
Beliau berkata pada masa ini, tiada definisi khusus atau hukuman yang jelas berkaitan kesalahan buli di bawah mana-mana peruntukan undang-undang.
Beliau berkata, ketika ini tiada undang-undang khas diperuntukkan bagi kesalahan buli, sebaliknya mengguna pakai Kanun Keseksaan dan undang-undang lain, namun kerajaan telah meminda dan memperkenalkan Seksyen 507B hingga 507G Kanun Keseksaan.
Pada masa sama kerajaan telah meminda Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) yang membolehkan pelantikan Pesuruhjaya Kanak-kanak di Sabah dan Sarawak. – KOSMO! ONLINE