SETIU – Seorang budak lelaki berusia lima tahun cedera parah selepas motosikal yang ditunggang bapanya merempuh seekor anjing yang tiba-tiba melintas jalan di Kilometer 61, Jalan Kuala Terengganu – Kampung Raja berhampiran Kampung Penarik di sini hari ini.
Dalam kemalangan pada pukup 8 pagi itu, mangsa, Mohammad Ayaaz Sabeer Mohd. Suhaimi mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah Setiu, Superintendan Mohd. Zain Mat Dris berkata, sewaktu kejadian, kanak-kanak itu bersama bapanya, Mohd. Suhaimi Mohd. Zain, 38, dikatakan dalam perjalanan ke Kampung Penarik dari rumah mereka di Taman Hijrah, Bari Besar di sini.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal dinaiki mereka gagal mengelak seekor anjing yang dikatakan tiba-tiba melintas. Rempuhan itu menyebabkan dua beranak terbabit tercampak ke atas jalan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Katanya, kanak-kanak berkenaan dikejarkan ke Unit Kecemasan Hospital Setiu untuk menerima rawatan, manakala bapanya pula menerima rawatan di hospital sama sebagai pesakit luar. – KOSMO! ONLINE