fbpx
Hussein menunjukkan rampasan syabu dalam bungkusan durian kering pada sidang akhbar di Shah Alam. Foto oleh AFIQ RAZALI/ KOSMO!

Bawa durian kering rupanya syabu 425.25kg

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Sindiket penyeludupan dadah antarabangsa menggunakan bungkusan durian kering didalangi lelaki warga emas sejak tiga bulan lalu tumpas menerusi empat serbuan di sekitar Puchong dan Kuala Lumpur, kelmarin.

Ketua sindiket itu bersama empat lagi konconya yang kesemuanya warga tempatan berusia 33 hingga 64 tahun itu ditahan dalam operasi lebih sejam bermula pukul 11.20 pagi bersama syabu dengan berat keseluruhan 425.25 kilogram bernilai RM13.6 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, modus operandi suspek adalah menjadikan rumah teres sebagai stor dadah sebelum dipasarkan ke pasaran tempatan dan antarabangsa.

Katanya, dadah tersebut dibawa masuk dari negara di utara Semenanjung untuk pasaran sekitar Lembah Klang.

“Kita juga mempercayai dadah itu akan dipasarkan ke Sabah dan Sarawak menggunakan laluan udara.

“Seterusnya, sindiket ini juga berkemungkinan membawa masuk dadah ini ke Kalimantan, Indonesia,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut beliau, sindiket itu adalah sebahagian daripada saki baki daripada sindiket besar yang pernah ditumpaskan JSJN di Bagan Datuk, Perak pada Mac lalu melibatkan makmal dadah.

Katanya, tiga daripada suspek tersebut juga pernah ditangkap di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB)1952.

“Seorang daripada kumpulan suspek ini mempunyai 13 rekod lampau dengan ketuanya mempunyai dua rekod jenayah penipuan.

“Hasil siasatan awal terhadap kesemua suspek mendapati masing-masing dua bertindak sebagai ‘transporter’ dan penjaga stor dan lelaki warga emas itu adalah koordinator atau ketua sindiket ini,” katanya.

Katanya, mereka juga mempunyai kaitan dengan sindiket antarabangsa susulan rampasan dadah dalam kuantiti yang besar itu.

“Terdapat individu lain yang dipercayai terlibat dalam sindiket ini sedang dikesan polis.

“Selain itu, kita mengambil tindakan pelucutan harta bernilai keseluruhan RM133,350 termasuk dua buah kenderaan, masing-masing dua utas jam tangan dan rantai,” katanya.

Kesemua suspek kini direman selama tujuh hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B ADB 1952. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI