PETALING JAYA – Misi Selangor FC untuk melakar kejutan ke atas kelab gergasi Thailand, Buriram United dalam aksi pertama Kejohanan Kelab ASEAN (ACC) 2025/2026 tidak kesampaian selepas seri 1-1 di Stadium Thunder Castle sebentar tadi.
Pada perlawanan itu, skuad Gergasi Merah membariskan kesebelasan terbaik dengan Chrigor Moraes Faisal Halim dan Zach Clough mengemudi jentera serangan.
Pasukan pelawat kendalian Katsuhino Kinoshi dilihat berjaya mendominasi saingan pada 20 minit pertama dengan melakukan beberapa gerakan menarik ke kubu tuan rumah.
Gol yang dicari akhirnya tiba hasil penyudah Chrigor pada minit ke-37 untuk mengecewakan ribuan penyokong setia Buriram yang hadir.
Bersambung pada babak kedua, Buriram yang dibimbing oleh Osmar Loss memperkemaskan jentera serangan dan berjaya bangkit untuk melakukan asakan bertali arus ke kubu skuad Merah Kuning.
Namun, kecemerlangan benteng pertahanan Selangor FC yang dikawal oleh penjaga gol, Kalamullah Al Hafiz berjaya menafikan hasrat Buriram.
Benteng kebal Selangor FC akhirnya bocor pada masa kecederaan hasil penyudah Petr Zulj sekali gus menyaksikan kedua-dua pasukan terpaksa berpuas hati dengan satu mata.
Sebagai rekod, Buriram merupakan juara bertahan saingan ACC musim lalu manakala ini adalah kali pertama Selangor FC bersaing pada kejohanan kelab berprestij peringkat Asia Tenggara ini. – KOSMO! ONLINE