PASIR MAS – Enam pelajar tingkatan empat ditahan selepas dipercayai terlibat membuli seorang remaja berusia 15 tahun dengan memukul dan melondehkan seluar mangsa ke paras lutut di sebuah sekolah di sini kelmarin.
Kesemua pelajar itu ditahan susulan laporan yang dibuat mangsa yang juga pelajar tingkatan tiga di sekolah tersebut kira-kira pukul 2.55 petang semalam.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Kama Azural Mohamed berkata, berdasarkan laporan mangsa, remaja itu telah ditumbuk, disiku di kepala dan ditendang pada bahagian punggung oleh lima pelajar tingkatan empat.
Menurutnya, mangsa juga tidak dapat mengenal pasti nama kesemua pelajar yang bertindak memukulnya.
“Salah seorang suspek dipercayai bertindak melondehkan seluar sukan yang dipakai mangsa sehingga ke paras lutut.
“Kejadian itu menyebabkan mangsa mengalami kesakitan pada bahagian kepala selain takut dan trauma untuk ke sekolah kerana sering diganggu oleh suspek yang sama secara berulang kali,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.
Katanya, berdasarkan laporan mangsa, polis menahan enam pelajar tingkatan empat sekolah berkenaan dan siasatan awal mendapati, kesemua suspek mengaku terlibat dalam kejadian membuli mangsa.
“Keenam-enam remaja berusia 16 tahun itu ditahan reman enam hari bermula hari ini hingga Isnin depan,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan, Seksyen 507B Kanun Keseksaan iaitu ugutan jenayah melalui komunikasi dan Seksyen 14(A) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017.
Terdahulu, tular hantaran seorang wanita di Facebook yang menyatakan anak saudaranya dijerut dengan dawai, ditendang, dipukul dan seluarnya dilondeh sehingga paras lutut semasa berada di sebuah sekolah di daerah ini.
Menurutnya, keluarga enam pembuli terdiri daripada pelajar tingkatan empat itu datang ke rumah ibu bapanya memohon agar kes tersebut ditarik.
“Hampir nak kena jerut dengan dawai. Mujur lah ada cikgu lalu ketika tu. Anak saudara ditendang, ditumbuk, dipukul, ditampar, seluar dilondehkan paras lutut, leher hampir dijerut dengan dawai.
“Oohh jahat serupo jin. Terus pelaku lari bertempiaran. Alhamdulillah tidak mati anak saudara. Kalaulah cikgu tidak lalu kawasan buli itu, mungkin anak saudara saya mati di tangan pembuli.
“Pembuli itu baru tingkatan empat, tetapi boleh berfikir tahap sampai macam ini. Apa akan jadi apabila mereka umur 20 tahun. Lagi bahaya pemikiran mereka ketika itu kalau tidak dikenakan tindakan undang-undang,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE