SHAH ALAM – Sejumlah 3,190 pendatang asing tanpa izin (PATI) berjaya ditahan dalam 414 operasi di sekitar Selangor dalam tujuh bulan ini.
Pengarah Jabatan Imigresen (JIM) Selangor, Khairrul Aminus Kamaruddin berkata, berdasarkan statistik menunjukkan jumlah tangkapan paling ramai adalah di daerah Petaling dengan 2,158 PATI diikuti Klang (617) dan Hulu Langat (193).
Katanya, sepanjang tempoh sama juga didapati 941 PATI telah berjaya didakwa di mahkamah.
“Jumlah paling ramai adalah warga Indonesia dengan 387 individu selain Bangladesh (245) dan India (114).
“Kebanyakan kesalahan adalah melibatkan tinggal lebih masa selain tidak memiliki sebarang pas atau permit sah,” katanya pada majlis sesi libat urus bersama media di sini.
Menurut beliau, pihaknya berjaya membuat pendakwaan terhadap
22 majikan kerana melindungi PATI mengikut Seksyen 56(1)(l) Akta Imigresen 1959/63.
Tambahnya, pengusiran juga dilakukan terhadap 1,030 PATI pelbagai negara selepas proses dokumentasi termasuk dengan kedutaan negara asal mereka.
“Statistik JIM Selangor juga mendapati Depot Imigresen Semenyih didominasi warga Myanmar dengan 655 orang selain Bangladesh (123), Bangladesh (98), India (35), Pakistan (20) dan lain-lain (46),” katanya.
Dalam perkembangan berlainan, beliau memaklumkan pihaknya akan terus melaksanakan elemen penguatkuasaan terhadap warga asing yang berada di negeri ini yang melanggar undang-undang.
“Dalam konteks pekerja asing, tiada kemasukan baharu sejak Mei lalu. Justeru, kita melakukan pelbagai operasi hasil aduan dan risikan terutama kepada mereka yang melanggar permit kerja atau pas,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE