PETALING JAYA – Seorang warga emas yang tertidur semasa menunggu pelanggan membeli nasi lemak menarik perhatian netizen.
Menerusi satu perkongsian oleh pengguna TikTok @_kakpinat, mak cik tersebut dilihat menjual nasi lemak berharga RM1.50 di sebuah simpang di kawasan Ara Kuda, Kedah, bersebelahan tanah perkuburan Masjid Aceh.
Menurut hantaran tersebut, warga emas itu tidak berniaga untuk menjadi kaya, sebaliknya hanya untuk meneruskan kelangsungan hidup. Difahamkan, perniagaannya kini semakin merosot.
“Sejak kebelakangan ni, niaga tak berapa nak ok.
“Nasi mak cik ni sedap. Sambal dan gulai udang pun sedap. Tolonglah ‘support’ dia. Dengan basikal tua tu la dia mai meniaga,” ujarnya.
Tambahnya, mak cik berkenaan sering kepenatan kerana tidur lewat dan bangun awal demi menyiapkan nasi lemak jualannya.
Menjengah ke ruangan komen, pelbagai reaksi diberikan oleh netizen terhadap hantaran tersebut.
“Kesiannya dia. Sakit badan tidur macam tu,” kata @Cemin.
“Saya duduk taman berhampiran, kalau-kalau ada yang nak infak boleh lah beritahu ya,” ujar @Wando garage.
“Mak cik ni lama tak meniaga haritu. Macam-macam dugaan nya. Pondok dia kena ribut, lepastu dah buat elok balik. Ditimpa pokok pula. Alhamdlah. Sekarang dah elok,” komen @Yaya. – KOSMO! ONLINE















