LONDON – Kehadiran juara Olimpik, Remco Evenepoel dalam pasukan Red Bull – BORA – Hansgrohe mampu memperkukuhkan cabaran skuad itu untuk menakluk pentas Grand Tour.
Primoz Roglic yang akan menjadi rakan sepasukan Evenepoel menyifatkan bahawa bintang berusia 25 tahun dari Belgium itu sebagai pelumba istimewa.
Menurutnya, Evenepoel sudah membuktikan kemampuannya dengan menjuarai pelbagai perlumbaan besar pada usia muda termasuk mencipta kemenangan peringkat di Tour de France (2024, 2025) selain muncul juara Vuelta a Espana (2022).
“Remco seorang pelumba istimewa. Dia menang banyak perlumbaan penting. Mudah-mudahan kami dapat capai sesuatu yang hebat bersama,” kata Roglic.
Red Bull – BORA – Hansgrohe kini dilihat serius untuk keluar daripada bayangan pasukan sokongan dan mahu tampil sebagai pencabar utama bagi menyaingi pelumba seperti Jonas Vingegaard serta Tadej Pogacar.
Evenepoel yang terkenal dengan kelebihan dalam ujian masa dan pecut, mampu melengkapi kekuatan Roglic yang berpengalaman luas dalam saingan Grand Tour.
“Kami perlu cari jalan untuk bersaing dengan mereka. Namun, masih ada kerja perlu dilakukan untuk merapatkan jurang,” kata Roglic yang menamatkan Tour de France tahun ini di tangga kelapan.
Kehadiran Evenepoel dijangka membuka lembaran baharu buat Red Bull – BORA – Hansgrohe dengan kombinasi bersama Roglic mampu meletakkan pasukan itu antara gandingan digeruni di pentas Grand Tour musim depan. – AGENSI














