SERIAN – Dua wanita maut, manakala enam lagi termasuk seorang bayi lelaki cedera selepas kereta dinaiki mereka terbabas di Bukit Sabal Tapang, Jalan Serian-Sri Aman di sini pagi tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, nahas pada pukul 9.37 pagi itu melibatkan kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Avanza dinaiki tiga lelaki, empat wanita dan seorang bayi.
Akibat kemalangan itu, dua wanita dan seorang lelaki tercampak keluar dari MPV, manakala dua lagi wanita, dua lelaki dan bayi dikeluarkan oleh orang awam.
“Dua wanita tercampak ke dalam parit dan tidak sedarkan diri. Kematian mereka disahkan oleh Pegawai Perubatan Hospital Serian. Enam lagi mangsa cedera,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Anggota Balai Bomba dan Penyelamat Simunjan dan Serian menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa dan menyerahkan kepada paramedik serta polis untuk tindakan lanjut. – KOSMO! ONLINE














