TAIPING – Kemalangan membabitkan dua buah lori di Kilometer (KM) 198.1 Lebuh Raya Utara-Selatan di Kamunting di sini pagi tadi menyebabkan seorang daripada pemandu kenderaan berat tersebut maut di tempat kejadian.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sayani Saidon berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 5.18 pagi, dengan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kamunting dan BBP Taiping tiba di lokasi kejadian 20 minit kemudian.
Katanya, kemalangan itu berlaku akibat sebuah lori satu tan jenis Isuzu yang membawa muatan telur melanggar lori lain.
“Lori membawa telur itu telah melanggar bahagian belakang sebuah lori 10 tan jenis Nissan UD membawa muatan tembikai dan terdapat seorang mangsa lelaki berusia 32 tahun tersepit pada lori muatan telur itu.
“Ketua Operasi melaksanakan size-up seterusnya mengaplikasikan konsep SAVER dengan mengarahkan anggota melaksanakan kerja penyelamatan menggunakan peralatan telescopic bagi membuat renggangan dan hydraulic cutter bagi membuat potongan bahagian kereta,” katanya di sini hari ini.
Sayani berkata, mangsa dibawa keluar dengan menggunakan stretcher dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan (KKM).
“Mayat mangsa kemudiannya diserahkan pada pihak Polis untuk tindakan selanjutnya. Operasi terkawal pada pukul 6.48 pagi dan tamat sepenuhnya pada pukul 6.52 pagi,” katanya. – KOSMO! ONLINE














