PETALING JAYA – “Dia selalu kena buli dengan senior, sampai seorang kakak tu cakap, ‘Kasihan, pakai cantik-cantik akhirnya buat kerja ke laut’.”
Itu antara kata-kata sinis yang pernah ditujukan kepada seorang wanita sehingga menyebabkan dirinya tertekan di tempat kerja.
Seorang lelaki mendedahkan, wanita berkenaan pada mulanya gemar ‘bersiap’ atau berpakaian cantik ke tempat kerja.
Namun, kelebihan yang dimiliki itu tidak disenangi rakan-rakan sekerja sehingga ada yang tergamak membuli wanita berkenaan.
“Masa aku kerja dulu, teringat ada seorang hamba Allah ni kalau datang kerja mesti pakai pakaian yang cantik-cantik. Suka tengok keyakinan diri dia.
“(Disebabkan kata-kata itu dan dibuli) lama-lama (saya) perasan perubahan pada diri dia.
“Datang dalam keadaan comot, pakai pun sekadarnya dan banyak kali cuti sakit sebab depresi.
“Ketoksikan dan buli benar-benar membunuh hati, harapan dan maruah orang lain,” katanya di media sosial.
Hantarannya itu mengundang pelbagai reaksi orang ramai, malah ada yang turut berkongsi pengalaman serupa.
“Saya pernah kena. Mula-mula tak faham kenapa diperlakukan begitu, tapi ada kawan sekerja lelaki beritahu, ‘Pertama kali kau masuk kerja, orang dah bercakap sebab terlalu bergaya’,” dedah seorang pengguna.
“Kalau datang temu duga pakai ‘make up’ lepas tu HR (jabatan sumber manusia) orang perempuan yang temu duga, mesti tak pernah dapat kerja. Sebab tu saya sampai sekarang susah dapat kerja. Perempuan ni memang tak boleh tengok orang lebih,” ujar pengguna yang lain.
“Kalau saya jumpa orang macam ni, lagi saya nak setiap hari pakai baju cantik,” komen @nora_fairy. – KOSMO! ONLINE