fbpx
Tertuduh (tengah) diarah menjalani hukuman penjara setelah gagal membayar denda RM50,000, semalam.

Atuk dijel lima bulan dera anjing

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki warga emas terpaksa meringkuk di dalam penjara selama lima bulan selepas gagal membayar denda sebanyak RM50,000 kerana mengikat mulut anjing betina dengan getah plastik dan memukul bertubi-tubi dengan sebatang getah paip, April lalu.

Mahkamah Sesyen Ampang semalam menjatuhkan hukuman terhadap lelaki berusia 65 tahun selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Nurulizwan Ahmad Zubir.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menyebabkan kesakitan secara kejam ke atas seekor anjing betina berwarna coklat dan hitam di halaman rumahnya di Kampung Baru Ampang, antara pukul 9.50 pagi hingga 12.10 tengah hari, 29 April lalu.

Kesalahan tersebut didakwa di bawah Seksyen 29(1)(e), Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 772) yang boleh membawa hukuman denda tidak kurang daripada RM20,000 dan tidak lebih daripada RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak lebih daripada tiga tahun atau kedua-duanya.

Kes tersebut dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Perkhidmatan Veterinar Selangor, Mohd. Sharif Sabran.

Mahkamah kemudiannya memutuskan supaya tertuduh dihantar ke Penjara Kajang bagi menjalani hukuman yang ditetapkan. Tertuduh juga gagal menjelaskan denda RM50,000 yang dikenakan terhadapnya.

Mengikut fakta kes, tertuduh telah mengikat mulut anjing betina menggunakan getah plastik dan memukul haiwan tersebut secara bertubi-tubi sebatang paip air serta selipar sandal. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN