WASHINGTON – Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) membatalkan lebih 6,000 visa pelajar antarabangsa ekoran pelanggaran undang-undang dan tinggal melebihi tempoh masa, lapor Perbadanan Penyiaran British (BBC) semalam.
Agensi itu berkata, sebahagian besar pelanggaran tersebut melibatkan serangan, memandu dalam keadaan mabuk, pecah rumah dan sokongan terhadap keganasan.
Tindakan itu diambil ketika pentadbiran Presiden Donald Trump meneruskan tindakan keras terhadap pendatang asing dan pelajar antarabangsa.
Setakat ini, Jabatan Negara tidak menjelaskan secara terperinci apa yang dimaksudkan dengan sokongan terhadap keganasan.
Namun, pentadbiran Trump telah menyasarkan sebahagian pelajar yang terlibat dalam protes menyokong Palestin dengan alasan mereka menunjukkan tingkah laku anti-Semitik.
Daripada 6,000 visa pelajar yang dibatalkan, Jabatan Negara berkata, kira-kira 4,000 daripadanya adalah disebabkan pelanggaran undang-undang.
Sebanyak 200 hingga 300 visa lagi turut dibatalkan di bawah INA 3B berkaitan keganasan. Ia merujuk kepada kod undang-undang yang mentakrifkan aktiviti pengganas secara meluas sebagai tindakan yang membahayakan nyawa atau melanggar undang-undang negara.
Setiausaha Negara AS, Marco Rubio memberitahu wakil-wakil rakyat pada Mei lepas bahawa beliau menganggarkan ribuan visa pelajar telah dibatalkan sejak Januari lalu.
“Saya tidak tahu jumlah terkini tetapi kami mungkin perlu lakukan lebih banyak lagi,” kata Rubio kepada ahli-ahli Kongres AS pada 20 Mei lalu.
Lebih 1.1 juta pelajar antarabangsa dari lebih 210 negara mendaftar di kolej dan universiti AS bagi tahun akademik 2023–2024, demikian menurut organisasi yang mengumpul data pelajar asing, Open Doors. – AGENSI