KUALA TERENGGANU – Lebih 5,000 penternak lembu di Terengganu merayu Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) bertolak ansur agar memendekkan tempoh pengeluaran permit pemindahan haiwan ternakan yang kini menjangkau 42 hari.
Mereka mendakwa, sistem baharu berkuat kuasa 3 Ogos lalu tersebut bukan sahaja meningkatkan kos operasi, malah merencatkan proses jual beli dan risiko kematian haiwan ternakan.
Seorang penternak, Muhammad Ezil Hisham Abd. Rahman, 32, mendakwa sistem baharu berkenaan mewajibkan setiap ekor lembu yang hendak dijual menjalani pemeriksaan vaksinasi dan kesihatan menerusi ujian makmal yang memakan masa sehingga 42 hari.
“Kami setuju setiap haiwan ternakan perlu menjalani ujian darah dan vaksinasi sebelum dipasarkan, tetapi tempoh 42 hari terlalu lama.
“Sebagai perbandingan, sebelum ini urus niaga rentas daerah cuma memakan masa sehari, manakala ke luar negeri pula dalam seminggu,” dakwanya ketika ditemui di pekarangan Pejabat JPV Terengganu di sini hari ini.
Muhammad Ezil Hisham mendakwa, tempoh pelepasan yang terlalu lama menyebabkan penternak terpaksa menanggung tambahan kos operasi kira-kira RM10 sehari bagi seekor lembu.
Dia yang menjual lembu-lembu liar yang ditangkap di dalam hutan mendakwa, tempoh terlalu panjang juga menyebabkan sebahagian haiwan miliknya tertekan sehingga menyebabkan kematian.
“Kami tidak boleh pindah haiwan ternakan sebelum permit dikeluarkan dalam tempoh 42 hari bagi mengelak berdepan risiko didenda puluhan ribu ringgit dan lori dirampas,” dakwanya. – KOSMO! ONLINE














