fbpx
UMAR (tengah) mencipta rekod baharu kejohanan dalam acara 400m selepas mengungguli siri ketiga di UUM yang berakhir semalam. - SUKAN IPT

VTF ‘pemanas badan’ terbaik atlet kebangsaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BINTANG olahraga tanah air, Umar Osman menganggap Kejohanan Varsity Track and Field (VTF) 2025 sebagai aksi ‘pemanas badan’ sebelum menghadapi dua pentas utama tahun ini.

Atlet berusia 20 tahun itu ketika ini berada di landasan tepat berdasarkan prestasinya di Siri 3 VTF 2025 yang melabuhkan tirainya di Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok, Kedah semalam.

Umar berjaya mencipta rekod baharu kejohanan dalam acara kegemarannya, 400m dengan masa 47.20 saat (s), memadam catatan lama yang dilakukannya 47.42s sebelum ini.

“VTF sentiasa menjadi pentas dan langkah untuk saya memperbaiki prestasi. Saya berpuas hati dengan prestasi dalam acara ini yang bukan sahaja menyumbangkan pingat emas tetapi rekod VTF saya sendiri.

“Saya menghargai setiap acara yang disertai kerana setiap kemenangan akan menyuntik semangat saya sendiri apatah lagi apabila berjaya memecah rekod,” kata penuntut reka bentuk industri dari Politeknik Sultan Ibrahim Pasir Gudang Johor itu.

Kecemerlangan tersebut tentunya membakar semangat pemegang rekod 400m kebangsaan dengan masa 46.09s itu menghadapi Terbuka Malaysia di Perlis hujung bulan ini dan Sukan SEA Thailand 2025 pada Disember depan.

Sementara itu, ketua penyelaras, Muhammad Malik Ahmad Tobias gembira perkembangan ditunjukkan selepas siri ketiga VTF telah membuktikan prestasinya dalam liga tersendiri.

“Bagi tahun ini, atlet berjaya memecah rekod kejohanan bagi tiga acara iaitu kategori lelaki 400m yang dimenangi oleh atlet kebangsaan Umar Osman, lelaki 1,500m (Shawn Roshan Singh) dan 4x100m wanita (Universiti Pendidikan Sultan Idris).

“VTF turut menyaksikan penyertaan banyak atlet kebangsaan yang dianggap menjadi platform kepada mereka untuk memanaskan badan sebelum ke acara kebangsaan dan antarabangsa termasuk Sukan SEA,” jelasnya.

Tambahya, ia juga antara platform Kementerian Pengajian Tinggi untuk menghadapi Sukan Universiti ASEAN (AUG) yang akan dianjurkan di Malaysia tahun depan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI